... dan mata pun terbuka. Lantaran bunyi alarm dari telefon bimbit dengan kalimah Lailahaillallah.
Alhamdulillah. Masih punya umur yang panjang. Bingkas bangkit. Kekasih telah lama menanti.
Usai Subuh yang singkat, ku duduk di atas sejadah usang, sejadah peninggalan arwah. Hanya itu saja yang tinggal.
Tatkala bibir melafaz taubat, istighfar yang panjang..
Air mata: Kau benar menyesal?
Aku: Ya. Aku menyesal.
Air mata: Apa yang kau kesalkan?
Aku: Banyak. Begitu banyak yang patut aku kesalkan. Kealpaan. Kesombongan. Kelekaan. Ah, begitu banyak untuk aku senaraikan satu persatu.
Air mata: Maka, mengapa tidak kau titiskan aku? Sudah lama kau tidak menangis, bukan?
Aku: Ya. (Perlahan. Dada menahan sebak.)
Air mata: Kau tak mahu menangis?
Aku: Bukan. Bukan aku tak mahu.
Air mata: Jadi? Apa kau tunggu lagi? Aku sudah lama tersimpan. Aku sudah lama menanti. Mengapa tiada setitis pun yang keluar? Atau kau hanya pura-pura kesal?
Aku: Tidak! Aku bukan berpura-pura. Sungguh, aku manusia yang banyak dosa. Aku tahu.
Air mata: Nah. Buktikan.
Aku: ... (Termenung) Aku... aku tak mampu. Kesedihan itu tidak menyelubungiku. Ia sudah hilang.
Air mata: Oh, alangkah ruginya. Kau tahu bukan, andai setitis aku mengalir di pipi itu mahupun basah hanya sehelai bulu mata mu, dosa mu terhapus. (1)
Aku: (Terus tertunduk malu. Apakah yang menghantui aku? Tangisan. Aku sudah tak mampu.)
Air mata: (terus menyambung bicara..) Apakah kau sudah sombong?? Kau sudah senang. Kau tidak lagi dibelenggu kesempitan. Kau kacang lupakan kulit??
Aku: Tidak!! Bukan!! (Meronta, menafi)
Air mata: Biarkanlah aku mengalir.
"Tangisilah dosamu sepanjang masa dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya tangisan meringankan kesedihan.
Jangan engkau lupa dosamu dalam kitab dan besarnya, sesungguhnya dosa-dosa meliputi manusia"
Air mata: Ah! Aku kecewa. Aku tahu kau telah lupa. Kau merasa nikmat dan bahagia?? Kau merasa sombong!! Kau sangka kau tidak berdosa!! Hati kau keras!! Ego!!
"Sesiapa yang takutkan Allah s.w.t maka perbanyakkanlah air mata dalam khalwat.
Semoga ianya setelah ingatan dan tangisan, air mata ditukarkan dengan kebaikan." (3)
Air mata: Sudahlah. Kau menangis cuma bila kau kecewa. Kau menangis cuma bila kau buntu.Kau menangis cuma bila kau merasa tak punya apa-apa. Kau lupa Sang Pencipta!!
Aku: bukan...(perlahan. Bibir terkunci. Hati sayu. Mahu lari.) Mengapakah ia tak mahu mengalir? Itu aku tak punya jawapan. Aku tak tahu! Sunguh, aku tak tahu!
Air mata: Ah, aku benar-benar kecewa. Jangan kau beri alasan. Manusia memang begitu.
"Aku mahukan air mataku sebagai lautan yang menumpahkan air, dari mataku atas apa yang telah luput dari zamanku.
Sebagai penyesalan daripadaku bagi kelemahan atas ketakutan, yang tidak diperolehi kesedihan melainkan belenggu ketakutan.
Demi Allah sekiranya sah tetapnya kesedihan, tidaklah aku mendapati melainkan tidur dalam kesedihan.
Alangkah baiknya mataku pada seluruh anggota, menangis atasku dengan mata yang tidak mengantuk." (4)
Matahari mula menampakkan muka. Hari sudah terang. Aku bangkit meninggalkan sejadah usang, tanpa air mata. Kesal.
No comments:
Post a Comment