salam

Sunday, October 30, 2011

Andai Kelalaian Itu Melalaikan…

Keliru
Manusia sering keliru. Mereka hidup seolah-olah sedang mencari yang pasti dari selain Allah s.w.t.. Padahal, apa yang dicari itu, kalaupun memang sesuatu yang pasti, tetapi hanya pasti akan berpisah dengannya suatu hari nanti. Kehilangan itu bermula pada sebuah kehendak untuk mengekalkan apa yang tidak akan kekal sehingga mengabaikan yang Maha Kekal.

Ada orang merasa puas kerana sekurang-kurangnya dia tidak macam orang lain. Kalau dia ingin berpuas hati dengan tahap dirinya, maka memadai dia mencari orang yang berada di bawah tahapnya.

Sebab itulah, ada insan yang lalai masih boleh berkata: “Walaupun saya buat maksiat, tetapi saya juga solat. Ada orang langsung tak solat.” Agamanya adalah pada ukuran orang lain.

Ada juga orang yang terkeliru dengan apa yang dicari, kemudian menganggap sekelilingnya sebagai yang keliru ketika berinteraksi dengannya. Ada orang yang tidak sanggup untuk berubah, lalu mengharapkan orang lain pun tidak berubah sepertinya. Kalau ada orang yang berubah, dia akan mengatakan: “alah, semalam orang itu lebih buruk dari saya.” Adakah keburukan manusia semalam itu adalah cerminan hari ini-nya atau masa depannya, sedangkan yang lalai tidak pun mula melangkah menuju sebarang perubahan. Jutaan keburukan semalam bisa Allah s.w.t. langsaikan sekelip mata dengan keampunan, bagaimana itu tidak menjadi motivasi untuk kembali kepada Tuhan? Akhirnya, bukan hidup kita sebagai Tuhan untuk menilai agama orang lain, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk agama sendiri.

Jangan jadikan kebaikan kita adalah pada kejahatan orang lain. Memang mudah melakukan kebaikan dengan mengukur keburukan orang lain sebagai definisi kebaikan. Seorang yang tidur walaupun tidak buat apa-apa kebaikan tetapi lebih baik daripada seorang yang mencuri. Tapi, takkan itu alasan untuk terus tidur tanpa melakukan tugas kehambaan?

Hidup Kita adalah Tentang Kita

Hidup kita adalah tentang kita. Bahkan, hubungan kita kepada orang lain dan dengan orang lain adalah tentang kita, iaitu tentang kita menjadi hamba Allah s.w.t melalui mereka semua. Bukan tugas kita memasukkan sesiapa ke neraka dan tidak pula kita layak memasukkan sesiapa ke dalam syurga. Tetapi, kita diamanahkan untuk menguruskan hidup kita sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.

Sekeliling kita adalah cara menyempurnakan diri kita, bukan sebab untuk merasa diri sempurna. Beza antara menyempurnakan diri kita (takmil) dengan merasa diri sempurna (kamal) adalah, asas menyempurnakan diri adalah kita merasa diri kita serba kekurangan dan perlu melakukan pembaikian diri dan terus menyempurnakan kekurangan diri dan tidak pernah berhenti menyempurnakannya. Ini kerana, tidak ada kesempurnaan yang tidak boleh disempurnakan lagi dalam diri seseorang insan.

Adapun orang yang menjadikan persekitaran sebagai sebab untuk merasa diri sempurna, maka dia akan membandingkan dengan mereka yang lebih buruk daripada dirinya, atau mencari kesalahan setiap manusia, lalu tidak melakukan apa-apa kerana merasakan dirinya sudah sempurna dan lebih banyak masa untuk menilai keburukan orang lain dan menghukum sekeliling. Memang semua orang ada kesalahan, sebagaimana semua orang ada kebaikan.

Mengapa buang masa dengan keburukan orang untuk tidak melakukan perubahan diri, sedangkan boleh menjadikan kebaikan orang sebagai contoh ikutan untuk memperbaiki diri? Katanya, hidup di dunia cuma sekali. Adakah sekadar untuk tidak melakukan apa-apa, merasa puas dengan diri sendiri, mengejar kepuasan diri dan menilai manusia di sekeliling, lalu akhirnya mati?

Pandangan dan Persepsi


Semua orang berhak memberi pandangan. Tetapi, bukan semua perkara akan mengikut persepsi yang kita inginkan. Hakikat itu wujud sebelum kita diciptakan. Hakikat kita adalah makhluk yang diadakan daripada tiada tidak akan berubah setelah kita ada. Hakikat kita adalah milik Tuhan yang menciptakan kita tidak pernah berubah sekalipun kita rasa memiliki segala-gala yang kita inginkan. Adakah kita yang tidak pernah menciptakan apa-apa dalam kehidupan kita, layak memiliki apa yang diberi oleh Tuhan dalam kehidupan kita, tetapi kita tidak merasakan kelayakan Allah s.w.t untuk memiliki kita, sedangkan kita ini diciptaka oleh-Nya?

Kita boleh memilih untuk tidak mahu melihat Allah s.w.t. dalam kehidupan. Tetapi, dengan tidak mahu melihat Allah s.w.t., tidak menyebabkan Allah s.w.t tidak melihat kita, dalam kehidupan kita. Kita sangka kita lakukan apa yang betul, tetapi apa yang betul tidak pernah mengikut apa yang kita sangka. Kalau kita yang lalai menyangka, bahawa kelalaian itu adalah kefahaman terhadap kehidupan, mengapa kelalaian itu akhirnya terhenti dengan kematian? Apa gunanya kita faham “kehidupan” tanpa memahami kematian? Kehidupan duniawi semakin menjauhi kita sedang kematianlah yang semakin menghampiri kita. Apabila orang kata: “kubur masing-masing”, maka jawapannya: “maka sebab itulah nasihat ini diberikan wahai teman”. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.

Pujian dan Celaan

Ketika Saidina Ali r.a. dipuji lalu beliau mengucapkan: “Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. dalam kebaikan yang disebutkan oleh mereka dan semoga Allah s.w.t. mengampuni keburukanku yang mereka tidak ketahui.”

Ini adalah ungkapan seseorang yang hidupnya adalah kerana Allah s.w.t.. Selagimana yang sudi memandang adalah Allah s.w.t., itu sudah memadai bahkan itulah segala-galanya. Sebagaimana pujian manusia adalah pinjaman, begitu jugalah celaan, hanyalah ujian.

Suatu ketika, seorang lelaki menjerit memanggil Imam Hasan Al-Bashri r.a. dengan menyebut: “Wahai orang yang menunjuk-nunjuk…”. Hasan Al-Bashri r.a. terus datang kepadanya lalu mencium tangannya lalu mengucapkan: “Terima kasih kepada orang yang telah menunjukkan keaibanku lalu aku dapat membaikinya.”

Jadi, hidup ini, lakukanlah perubahan kerana Allah s.w.t., kerana Dialah yang kita cari dalam kehidupan. Lakukan apa sahaja untuk diri kita, namun jika tanpa bantuan Allah s.w.t., tiada apa yang dapat diperolehi. Jika telah mendapat pandangan redha Allah s.w.t., apa sahaja yang dilakukan adalah kehampiran kepada-Nya.

Jangan takut melakukan kebaikan kerana celaan sebagaimana jangan melakukannya kerana pujian. Jika ada manusia yang memujimu, itu menunjukkan adanya juga manusia yang mencelamu. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai manusia paling agung dan mulia, yang tiada ruang kelemahan dan kecelaan pun, tidak terlepas dari celaan manusia. Memadai bagi Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam, Allah s.w.t. meredhai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan mencintai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam.

Sebagaimana seseorang tidak hidup dengan pujian manusia, dia juga tidak akan mati dengan cacian mereka, sebagaimana disebutkan oleh Yasin Sulaiman. Sebagaimana orang-orang yang memuji kita pun akan mati, begitu juga orang-orang yang mencela kita juga akan mati, bahkan kita juga sendiri akan mati. Akhirnya, masing-masing mempunyai perjalanan kehidupan akhirat yang tersendiri. Maka, fokus kepada satu pandangan, iaitulah pandangan Allah s.w.t., maka kita akan tahu apa yang perlu kita lakukan dalam kehidupan.

Hari Ini Bukan Semalam dan Bukan Esok


Kita hidup adalah untuk melakukan yang terbaik hari ini dan sekarang. Jutaan semalam telah berlalu. Jika ada kebaikan, maka ia adalah daripada Allah s.w.t. dan syukurilah. Jika ada keburukan, maka ia adalah untuk ditaubati. Tapi hari ini, dan sekarang, adalah apa yang kita perlu lakukan. Jangan tangguh apa yang boleh dan perlu kita lakukan sekarang, untuk hari esok, kerana ia belum pasti. Kita adalah makhluk baru setiap saat.

Segala perubahan, pemurnian dan taubat, perlu dilakukan sekarang. Jangan tambah semalam yang kelam untuk membinasakan masa depan yang diharapkan sebagai rumah kebahagiaan. Mati itu hadir bila-bila masa sahaja. Walaupun semalam, kematian tidak hadir kepada kita, tetapi ia hadir kepada orang lain. Itu membuktikan tiada yang terlepas daripada kematian. Pelajarilah apa yang perlu dalam kehidupan daripada pesekitaran untuk penyempurnaan diri. Carilah yang pasti dan jangan fantasikan realiti demi merealitikan fantasi. Sebab, di luar akal dan minda kita, yang wujud hanyalah hakiki dan realiti, biar seindah mana pun fantasi dan persepsi akal kita. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.

Kehambaan

Semua orang perlu ada sebab untuk berubah. Bahkan, memang semua orang ada sebab untuk berubah. Ia adalah tanggungjawab dalam kehidupan duniawi. Semua orang tahu dirinya diciptakan untuk disempurnakan. Allah s.w.t. menjadikan hubungan kita kepada-Nya sebagai hubungan kehambaan. Maka, pada hubungan kehambaan itulah, kita melaksanakan proses penyempurnaan. Iaitu, menyempurnakan sudut kehambaan dengan ketaatan.

Dosa memisahkan kita daripada Allah s.w.t.. Kita yang terus keliru dalam kehidupan, tanpa kembali kepada Allah s.w.t.. Orang yang hipokrit dalam menuju Allah s.w.t. pun merasa seronok dengan perjalanannya itu, kerana mendapat pujian atau sebagainya, bagaimana pula dengan orang yang jujur menuju Allah s.w.t.? Bahkan, sudah tentulah lebih bahagia dan itulah sebenar-benar bahagia, iaitu jujur dalam mencariNya. Orang yang mengaku sebagai wali Allah pun seronok dengan pendakwaannya, bagaimana pula kebahagiaan di hati para wali Allah s.w.t. yang hakiki, yang telah mendapat penerimaan daripada Allah s.w.t.?

DIALAH ALLAH

Jangan salah sangka. Bukan ibu bapamu yang memaksa kamu menjadi seorang insan yang soleh. Bukan ustaz yang mengajar di sekolahmu yang sebenarnya menyuruhmu melakukan ibadah dan menjadi hamba Allah s.w.t.. Bukan imam di masjid atau ustaz yang berceramah yang menyuruhmu menjadi hamba yang soleh lagi taat. Bukan penulis tulisan ini yang menyuruhmu dan dirinya sendiri, menjadi hamba Allah s.w.t. yang sebenar.

Tetapi, ALLAH… Allah s.w.t. yang menyuruh kita menjadi hamba yang diredhai-Nya dengan melaksanakan tugas-tugas kehambaan lalu Dialah yang akan membalasinya. Penulis tulisan ini, imam masjid, ustaz yang berceramah atau yang mengajar di sekolah, hatta ibu bapa sekalipun, siapa kami dan siapa mereka, untuk menyuruh kamu (dan diri penulis), menjadi hamba Allah s.w.t. yang baik dan taat? Tetapi, yang menyuruh kita menjadi hamba-Nya yang taat adalah ALLAH s.w.t., Tuhan yang menciptakan kita daripada tiada kepada ada, daripada tidak memiliki apa-apa kepada mendapat segenap nikmat kurnia, daripada air yang tiada nilai kepada insan yang mulia dan Dialah yang akhirnya Tuhan yang akan mengadili kita setelah kita kembali hanya kepada-Nya setelah mati nanti. Harap maklum.

Kalau kita diberi peluang untuk melawan Allah s.w.t. sekalipun, kita sudah tentu tidak mampu untuk melawan Allah s.w.t.. Apatah lagi, kita tidak beri peluang langsung untuk bertanya apa yang Dia telah dan akan lakukan kepada kita, sedangkan kitalah yang akan dipertanyakan. Adakah seseorang itu menyangka dia ialah seseorang (somebody) jika melakukan penderhakaan kepada Allah s.w.t. dan Allah s.w.t tercabar dengan kedegilan itu? Sejak bila Allah s.w.t. perlukan kita untuk ambil kisah dengan tindakan buruk kita dan sejak bila kerajaan Allah s.w.t. boleh berkurangan dengan penderhakaan kita andai kita sanggup menderhakai-Nya?

Kita tidak cerdik kalau memilih untuk melakukan apa yang kita percaya, hanya kerana itu yang kita percaya, tanpa mengambil kira samada ianya adalah suatu yang hakiki atau khayalan fantasi sendiri. Kalau kita bukan penasihat kepada diri kita sendiri, maka tiada yang boleh menasihati kita. Orang boleh ajak kita berfikir, tetapi orang tidak boleh berfikir untuk kita. Kita pun faham, kita tidak pernah mampu membahagiakan diri kita sendiri dengan apa yang kita cari. Akhirnya, kebahagiaan itu adalah daripada Allah s.w.t. dan dengan Allah s.w.t.. Hidup untuk diri sendiri tidak berbaloi kerana mati nanti akan menjadi pemisah terhadap semua yang kita kumpulkan untuk kepentingan sendiri dan diri sendiri pun tidak ada nilai melainkan apa yang di sisi Allah s.w.t… Hidup kerana Allah s.w.t. tidak pernah mengecewakan, kerana setiap saat kita berinteraksi dengan-Nya sebagai tujuan. Sebagaimana kita tidak pernah meninggalkan-Nya dalam setiap tindakan, kita juga tidak akan ditinggalkan-Nya dalam setiap ketentuan. Bahkan, kita sentiasa bersama dengan-Nya dan bersama dengan kebersamaan tersebut.

Kita masih ada masa, tetapi jangan buang masa. Kita masih ada peluang, tetapi jangan jadikan sebagai alasan. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok. Salah itu bukan alasan untuk terus salah, tetapi adalah sebab untuk melakukan perubahan dan pembetulan ke arah penyempurnan kehambaan.

Ianya adalah tentang sekarang, untuk lakukan apa yang perlu, untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Allah s.w.t. Maha Penerima Taubat, bagi mereka yang jujur untuk kembali kepada-Nya. Namun ingatlah, Dia juga Maha berat siksaan-Nya, bagi mereka yang mempunyai rasa berani menderhakai-Nya dan berterusan dalam kelalaian kerana puas dengan penderhakaan tersebut. Taubat boleh membawa kepada menghilangkan dosa besar dengan keampunan Allah s.w.t. sedangkan berterusan melakukan dosa walaupun kecil, tanpa keampunan Allah s.w.t., ia akan menjadi masalah besar kepada si pelakunya di akhirat. Ia bukan tentang dosa seseorang, tetapi tentang kepada siapa dia melakukan dosa.

Kita adalah hamba samada kita akuinya mahupun tidak. Bahkan, kita adalah hamba, samada hamba kepada Allah s.w.t., yang merupakan suatu kemuliaan di sisi-Nya, atau hamba kepada nafsu sendiri, yang merupakan suatu kehinaan di hadapan-Nya. Allah s.w.t. adalah Allah s.w.t. jua, tanpa kita. Namun, siapalah kita, tanpa-Nya?

Saturday, October 29, 2011

Menjadi Tunang Orang Tanpa Kita Sedar?



Jika seorang lelaki menyatakan hasrat kepada seorang perempuan untuk dijadikan isteri dan wanita itu bersetuju, adakah ia dikira bertunang walaupun ibu bapa perempuan itu belum tahu atau tidak kenal pihak lelaki?

Jawapan

Makna pinang dari segi syarak adalah pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin kepada pihak perempuan. Apabila pihak perempuan berkata setuju, maka perempuan itu sudah dikira menjadi tunang kepada lelaki tersebut.

Contohnya apabila seorang lelaki berkata kepada seorang perempuan, "Aku ingin jadikan kamu sebagai isteriku."

"Kahwin la dengan kita bila-bila," jawab perempuan tersebut.

Maka dari segi hukum syarak, tatkala pihak perempuan itu bersetuju, dia telah menjadi tunang kepada lelaki tersebut; walaupun ia disebut dalam telefon.

Jadi, haram bagi lelaki lain untuk masuk meminang jika hal itu diketahui. Namun jika pihak lelaki lain yang ingin masuk meminang itu tidak tahu, maka ia tidak haram.

Bagaimana dengan kebiasaan orang Melayu yang menghantar rombongan meminang untuk lelaki meminang perempuan?

Ia hanyalah adat Melayu, dan tiada kena mengena dengan hukum Islam. Antara hukum Islam dan hukum adat, mana satu lebih penting?

Namun tiada masalah dengan adat Melayu itu, cuma dari segi hukum Islam, bertunang itu adalah apabila seorang perempuan itu bersetuju dengan hasrat pihak lelaki untuk menjadikannya seorang isteri.

Bagaimana Jika Perempuan Itu Ketiadaan Ibu Dan Ayah?

Mengikut hukum syarak, jika perempuan itu persetujuannya sudah diizinkan oleh syarak seperti perempuan yang cerdik, yang sudah baligh dan sebagainya, ia sudah dianggap bertunang jika dia bersetuju dengan pelawaan lelaki yang menyatakan hasrat mengahwininya.

Apabila perempuan itu persetujuannya tidak menepati hukum syarak seperti belum baligh, gila dan lain-lain, maka wali diperlukan untuk menjawab 'pinangan' tersebut.

Kesimpulannya, kita perlu berhati-hati kerana kita boleh menjadi tunang orang tanpa kita sedar. Pastinya ramai yang tidak tahu dan perasan akan hakikat ini.

Sunday, October 9, 2011

Cinta iLahi,Cinta HAkiki


•.,,.-°-★ Cinta, jangan memelukku terlampau ERAT. Di dada ini ada LUKA yang masih setia aku rawat..

•.,,.-°-★ Cinta, aku tidak mengapa jika kau JAUHI aku beberapa waktu ini. Sungguh, aku ingin BELAJAR menyayangi diriku terlebih dulu, sebelum meyakini diri untuk BERKORBAN demi yang lain..

•.,,.-°-★ Cinta, jika memang kau PERLU untuk mewarnai hariku beberapa waktu kehadapan. Tolong pastikan bawakanlah aku WARNA kebahagiaan yang hakiki, bukan sekadar bahagia yang berusaha ku alami sendiri..

p/s : ya ALLAH..sembuhkanlah sahabat-sahabat yang berada di sekeliling diri ini yang sakit, dan terluka hatinya akibat CINTA DUNIA..hapuslah air matanya, hilangkan segala DUKA dan LARA..berikanlah kesejukkan hatinya, dan KEKUATAN serta SEMANGAT untuk meraih KEBAHAGIAAN dalam hidupnya..✿

Saturday, October 1, 2011

ADAKAH KITA MENCINTAI NYA?

'CINTAILAH DIA SEBELUM MENCINTAI SESAMA MAKHLUK'

Kenapa kita perlu mencintai Tuhan??? Sebab Dia menciptakan kita??? Sebab Dia memberikan kita hidup dan peluang bernafas di dunia ini??? Itukah sebab utama??? Semua tu adalah jawapan yg biasa kita dengar.

Baik, sebab apa kita menyayangi ibu bapa??? Sebab mereka melahirkan kita??? Ya, betul... Tapi itu bukan sebab yang paling utama. Kita menyayangi ibu bapa, kerana kasih sayang mereka kepada kita. Begitu juga dengan Tuhan. Kita perlu mencintai Tuhan kerana cintaNya kepada kita.


Dapatkah kamu rasa cinta Tuhan??? Cinta Tuhan ibarat angin yang tidak dapat dipandang zahir. Tidak dapat ditangkap pandangan mata. Hanya mata hati yang mampu merasakan kehadirannya.

Namun ramai manusia mengatakan cinta pada Allah, namun tidak mejiwai perasaan itu. Mereka tahu Allah itu Maha Melihat, tetapi mereka lupa, Allah sentiasa berada di sisi. Allah bukan saja memerhati, malah Allah ikut sama dalam setiap perbuatan. Bukan saja melihat tingkahlaku kita, bahkan tahu segala tindak tanduk dan niat di dalam hati kita.

Saya sekadar memberi peringatan. Terutamanya kepada diri saya sendiri. Kerana manusia itu lumrahnya mudah lalai dan lupa. Tiada cinta yang perlu diletakkan ditempat paling utama melainkan cinta kepada Tuhan. Cinta yang kekal, jika kita pandai menjaganya. Jika kita tahu menghargai nilai cinta tersebut. Sedangkan cinta kepada manusia itu tidak menentu...